Search

Saman Gangguan Seksual?



PADA minggu lalu, saya ada menyentuh mengenai saman malu dan perlanggaran hak privasi.


Seperti yang dijanjikan pada minggu ini saya akan menyentuh mengenai gangguan seksual dan apakah hak anda sebagai mangsa untuk mengambil tindakan saman sivil.


Apakah gangguan seksual? Secara kasarnya, gangguan seksual adalah satu bentuk perbuatan atau tindakan yang bersifat seksual, tidak kira sama ada dilakukan secara perbuatan mahupun percakapan atau apa-apa juga bentuk dan ditujukan kepada seseorang yang lain.


Jadi, jika anda diganggu secara seksual terutama ketika di tempat kerja, adakah anda berhak untuk mengambil tindakan saman terhadap pesalahlaku gangguan seksual tersebut?


Jawapannya sudah tentu boleh. Selain membuat laporan kepada majikan anda dan pihak polis, anda juga boleh mengambil tindakan saman dan menuntut ganti rugi daripada pesalahlaku gangguan seksual tersebut.


Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengiktiraf tindakan saman sivil di bawah prinsip tort bagi kes salah laku gangguan seksual.


Dalam kes Mohd Ridzwan Abdul Razak v Asmah Mohd Nor, mangsa (Asmah) telah diganggu secara seksual oleh pesalahlaku (Ridzwan) dan telah mengadukan isu itu kepada majikannya.


Bagaimanapun, setelah siasatan dijalankan, majikannya gagal menemui sebarang bukti untuk menghukum Ridzwan tetapi telah memberikan amaran keras kepada Ridzwan termasuk tidak membaharui kontrak pekerjaan Ridzwan.


Ironinya, Ridzwan mengambil tindakan saman fitnah terhadap Asmah, lantas Asmah membuat saman balas gangguan seksual terhadap Ridzwan.


Asmah berjaya menuntut ganti rugi daripada Ridzwan sebanyak RM100,000 sebagai ganti rugi umum dan RM20,000 sebagai ganti rugi teladan.


Kes itu telah secara langsung membawa kepada pengiktirafan oleh mahkamah di Malaysia bahawa tindakan saman sivil boleh diambil terhadap pesalahlaku gangguan seksual, selain membuat aduan kepada majikan dan polis (serta di dakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan).


Lebih menarik, kesalahan gangguan seksual tidak hanya melibatkan pesalahlaku lelaki tetapi turut melibatkan wanita.


Jika seseorang lelaki diganggu secara seksual oleh seorang wanita, maka beliau juga berhak untuk mengambil tindakan terhadap pesalahlaku wanita tersebut.


Jika tindakan telah diambil oleh majikan anda dan pesalahlaku turut didakwa oleh polis, anda tetap berhak untuk mengambil tindakan saman sivil terhadap pesalahlaku tersebut dan menuntut ganti rugi daripadanya.


Jika majikan anda gagal untuk mengambil tindakan sewajarnya kepada pesalahlaku setelah aduan dibuat, anda juga berhak untuk mengheret sekali majikan anda dalam tuntuan saman gangguan seksual itu kerana majikan telah gagal untuk menjalankan tanggungjawabnya.


Kes yang diputuskan pada 2016 itu adalah satu kejayaan kepada ramai pihak yang berjuang untuk memberikan kesedaran mengenai gangguan seksual.


Amat menyedihkan kerana masih ramai yang kurang sedar mengenai hak mereka termasuk hak untuk mengambil tindakan saman gangguan seksual. Diharap selepas ini lebih ramai mangsa gangguan seksual sedar hak mereka dan jangan dibiarkan pesalahlaku gangguan seksual terlepas begitu sahaja.


Selain itu, kerajaan Malaysia turut disarankan agar menjadi lebih prihatin mengenai isu berkenaan. Oleh kerana Seksyen 509 Kanun Keseksaan masih tidak cukup untuk melindungi kita daripada gangguan seksual, maka akta gangguan seksual perlu digubal segera agar rakyat lebih dilindungi oleh undang-undang dan tidak hanya dilindungi ketika di tempat kerja semata-mata. Gangguan seksual tidak hanya berlaku di tempat kerja tetapi boleh berlaku di mana-mana.


Banyak negara maju termasuk Filipina dan Singapura telah mempunyai akta khas berkenaan gangguan seksual.


Sejak dahulu lagi, Malaysia begitu berlengah dalam memperkenalkan undang-undang baharu yang bagus untuk melindungi rakyat, sebaliknya begitu cepat pula menggubal undang-undang baharu jika melibatkan kepentingan mereka seperti Akta Antiberita Tidak Benar.


Kali ini biarlah kerajaan menjadi lebih tegas dan pantas dalam menggubal undang-undang yang bagus untuk menjaga kebajikan rakyat jelata.


Artikel asal diterbit oleh Sinar Harian.


Penulis:

Haeme Hashim

haeme@haemelaw.com

2 views
  • Facebook
  • Instagram
  • LinkedIn

We are a full service law firm in Kuala Lumpur, Malaysia, with regional networks. We are ready to assist clients to take advantage of the opportunities afforded by increasingly open and broad Asia Pacific markets

Copyright  © 2020 Haeme Lew.

All rights reserved.